CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, December 16, 2008

CeRpEn>> MengeJar CiNt@ HaKiKi

Dia masih bersujud. Terus bersujud dan akan sentiasa bersujud. Menambah cinta yang seolah-olah tidak betah berada di hati. Berbekalkan setitis air mata, dia masih lagi ingin mencuba. Walau disedari dirinya tidak seberapa, namun semuanya harus diambil kira. Cinta kepada Yang Maha Esa perlu melebihi segala, walau cinta kepada Hawa mula menguasai jiwa. Menyerang segenap lapisan kerinduan Ilahi, menghancurkan benteng kesabaran selama ini, dia tetap akan mencuba kerana, cinta Adam kepadaNya perlu melebihi segala. Walau terpaksa mengorbankan Hawa.

***********************

Adam melangkah masuk ke perpustakaan seperti kelazimannya. Saban hari, di situlah dia menghabiskan masanya dengan membaca buku-buku ilmiah yang penuh terdapat di situ. Tabiatnya yang suka membaca sudah sebati dengan dirinya semenjak kecil lagi. Sebaik sahaja masuk ke perpustakaan, matanya menangkap wajah sahabatnya Rasyid yang kelihatan sibuk menelaah. Mencari maklumat barangkali,getus hati kecilnya.
Perlahan-lahan Adam menghampiri sahabatnya yang seorang itu.

“ Assalamualaikum Rasyid,” sapanya melontarkan ucapan mulia tersebut. Rasyid membalas salamnya sambil menghadiahkan sebuah senyuman.

“ Dah lama ke sampai?” Rasyid mengangguk. Titisan peluh di dahi disapu. Spek matanya dibetulkan.

“ So?”

“ Aku dah kumpul maklumat yang engkau mahu tu. Semuanya terdapat dalam cd ni,” balasnya pantas sambil mengeluarkan sekeping CD dari beg galasnya. Pantas saja dia meletakkannya di hadapan Adam. Seolah-olah mengerti yang Adam hanya mahu singgah sebentar.

“ Jadi,terima kasih aku ucapkan pada kau, Rasyid. Aku tinggal kena prepare untuk presentation sajalah. Sekali lagi terima kasih banyak-banyak.”

“ Alah, inikan kerja kumpulan, walau pun kita bukan sekumpulan, aku tetap akan tolong kau setakat yang aku mampu. Lagipun maklumat yang kau mahu ini pun sama juga macam yang aku mahu,” ujar Rasyid sambil mengenyitkan matanya. Adam tersengih. Jam tangannya dikerling. Alamak, dah pukul tiga. Dia segera meminta diri untuk beredar sambil mengucapkan salam kepada sahabatnya itu. Langkah kaki pantas diatur menuju ke bilik Professor Zaid. Semalam dia sudah membuat temu janji dengan professor yang berkelulusan dari Jordan itu untuk membincangkan pembentangan yang akan dibuatnya minggu hadapan.

Dalam pada itu,seorang pemuda menegurnya.

“ Adam b. Adnan?” Adam hanya mengangguk. Pemuda itu tersenyum lalu menghulurkan sepucuk surat. Adam mengambil surat tersebut. Kelihatan namanya tertulis di atas sampul.

“ Untuk awak,” ujar pemuda itu sambil berlalu pergi sebelum sempat Adam bertanya akan pengirimnya. Memandangkan dia sudah hampir terlewat, surat itu segera dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Perjalanan yang tergendala diteruskan. Sebuah sabda Nabi s.a.w melintas dibenaknya, “ dan apabila dia berjanji,dia memungkirinya.” Dia tak mahu ciri-ciri munafik yang digariskan oleh Nabi s.a.w, ada pada dirinya. Langkah yang terasa perlahan diperlajukan. Dalam hati dia mula beristighfar. Moga-moga kesalahannya ini diampunkan.
Sampai sahaja di hadapan pintu bilik Professor Zaid, segera Adam mengetuk pintu lalu melangkah masuk.

“ Assalamualaikum.”

************************

Dia termenung sendirian. Kepalanya diusap lembut. Seolah-olah cuba menyingkirkan segala keresahan di jiwa. Surat yang diterima petang tadi sudah dibaca dan dia sudah muak menerima surat seperti itu. Entah mengapa, hatinya masih lagi belum terbuka untuk bercinta. Itu bukanlah kali pertama dia menerima surat yang mengajaknya bercinta. Rupa paras yang sempurna dan kesenangan dalam hidup, mungkin punca dia selalu dikejar oleh kebanyakan wanita di sekelilingnya. Adam tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Baginya segala itu adalah kurniaan dan pinjaman daripada Allah semata-mata. Dia hanyalah meminjamkan barangNya seketika dan bila-bila masa sahaja barang pinjaman itu boleh diambil kembali.

“ Adam, bila engkau ingin bercinta? Setahu aku, si Munirah itu sudah lama minat dengan engkau,” pertanyaan Rasyid singgah di telinganya. Adam hanya tersenyum. Dia menggeleng.

“ Dia bukan Hawa bagiku. Selagi mana aku tidak menemui Hawa yang diciptakan untukku, cukuplah cinta kepada Allah semata.” Rasyid tersenyum. Dia sudah masak dengan perangai Adam. Siapa yang tidak meminati Adam. Perwatakkannya yang sentiasa merendah diri, berbahasa indah sentiasa mencairkan hati gadis-gadis di sekelilingnya. Tambahan pula, Adam memiliki rupa paras yang menarik, indah dipandang. Dia mempunyai asset yang lengkap untuk membanggakan dirinya namun berbeza sekali perwatakkannya.

“ Engkau mahu satu nasihat daripada aku?” soal Rasyid. Adam mengangguk. Rakannya yang seorang ini memang sentiasa suka memberikannya nasihat yang berguna.

Firman Allah s.w.t , “ Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Dia bersyukur dikurniakan teman sebaik Rasyid yang sentiasa memberikan nasihat berguna kepadanya kerana dia tahu, dirinya seorang tidak mampu untuk menghadapi arus dunia yang semakin hari semakin deras, cuba menghanyutkan mereka yang terleka.

“ Cintailah Allah, cintai makhluk ciptaannya hanya kerana engkau cinta kepada Allah, nescaya engkau akan menemui Hawamu Adam.”

Adam beristighfar. Memori lalu terasa begitu dekat dengan dirinya. Maha Suci Allah yang menciptakan perasaan kasih sayang dan mencampakkannya di dalam hati manusia. Pimpinlah rasa cinta ini menuju keredaanMu Ya Allah, Adam memanjatkan doa di dalam hati kecilnya. Mungkin benar kata Rasyid. Dia tidak boleh menidakkan rasa cintanya ini. Selama mana hatinya mampu melawan hasutan nafsu dan syaitan yang licik, dia sendiri tidak pasti.
Aku perlu berterus terang dengannya,getus hatinya. Segera Adam mendekati meja kerjanya,tempat dia selalu menghabiskan assignment yang diberikan. Komputer ribanya dihidupkan. Segera dia menaip bait- bait kata.

Namun, dia termenung seketika.

“ Konsep tawakal yang sebenar adalah, kita berusaha sebaik mungkin, berikan apa yang kita mampu ke dalam sesuatu perkara itu, maka, apabila kita sudah yakin itu yang terbaik yang kita mampu berikan, banyakkanlah berdoa kepada Allah kemudian barulah kita bertawakal. Reda dengan segala apa yang akan berlaku walaupun ianya bukan seperti yang kita inginkan.

Sebahagian bijak pandai pernah berkata, “ Tidak pernah aku risaukan kenderaan mana yang akan aku naiki. Jika kenderaan tersebut adalah kemiskinan, maka aku akan bersabar. Jika ianya kekayaan, aku akan bersyukur kepada Allah.” Pengajarannya adalah, kita perlu sentiasa bersyukur dalam hidup ini. Jika kita mampu menjadikan syukur suatu kelaziman dalam kehidupan kita ini, Adam, nescaya dunia ini kelihatan begitu kecil di mata kita. Ini kerana, kita singgah hanya sementara dan gunakanlah peluang ini untuk mencari rahmat dan beramal kepadaNya.”

Kata-kata Professor Zaid terngiang-ngiang di gegendang telinganya. Adakah aku perlu berusaha dahulu? Wajarkah aku meluahkan hasrat hatiku ini kepadanya? Adam menarik nafas sedalam yang boleh. Dia bimbang andai cintanya akan berpaling nanti. Dia amat bimbang jika dia leka dibuai keasyikan cinta makhluk yang sementara sedangkan dia sedang mengejar cinta hakiki daripada Ilahi. Dia gusar. Jemari yang tadinya sudah bersedia untuk membariskan kata mula kaku. Otaknya masih ligat memutar imbasan memori silam.

“ Assalamualaikum. Jadi saya Nurul Huda, mewakili kumpulan enam akan membentangkan assignment yang telah kami buat iaitu berkenaan dengan fluid flow.” Semua mata yang berada di dalam dewan kuliah itu menumpukan sepenuh perhatian kepada gadis jelita yang sedang membentangkan kertas kerja kumpulannya. Kelihatan beberapa orang daripada mereka yang sibuk mencatat nota ringkas dalam buku nota masing-masing.
Adam tidak ketinggalan. Segala maklumat yang dianggap penting dan perlu, dicatat menggunakan PDA nya. Supaya mudah untuk dia masukkan ke dalam komputer riba nanti. Rasyid yang berada di sebelahnya kelihatan termenung. Tiada sebarang catatan pun yang dilakukan. Anak mata Adam mengerling tajam ke arah sahabatnya itu. Mesti ada masalah, gumam hati kecilnya. Dia menyiku Rasyid.

“ Oit!” Rasyid tersentak. Pantas dia memandang ke arah Adam. Kening terangkat menandakan pertanyaan kehairanan.

“ Kau tak mahu buat catatan ke?” Soal Adam. Dalam pada itu,tangannya masih lagi menekan butang-butang PDA agar tidak terlepas sebarang maklumat. Namun perhatiannya sudah terbahagi dua, separuh ke arah hadapan dan separuh lagi untuk berbual dengan Rasyid. Walaupun sukar namun cuba dibiasakan. Rasyid tersenyum. Kelihatan senang. Adam semakin kehairanan.

“ Kau ni dah lupa ke? Akukan dalam kumpulan enam. So, semua maklumat aku dah ada,” jelas Rasyid sambil ketawa kecil. Adam menghela nafas. Sangkanya ada masalah, rupanya tiada. Adam membalas senyuman Rasyid lalu kepalanya dipalingkan kembali menatap Nurul Huda yang kelihatan petah menjelaskan satu persatu hasil perbincangan kumpulannya itu. Tatkala pandangan mata mereka berlaga, satu sentakan halus menyentuh hati Adam. Dia terpana, pantas dia melarikan pandangannya. Dada lelakinya berdebar kencang.

“ Rasyid, kau dengar tak ni?” Soal Adam sewaktu mereka makan tengah hari di Café D Rasa. Rasyid yang kelihatan ghairah melahap sepinggan nasi goreng ayam bagai tidak sedar kehadirannya di situ.

“ Weh!” Suaranya dikuatkan. Barulah Rasyid mengangkat muka.
“ Kau bercakap dengan aku ke?” Soal Rasyid tanpa ada rasa bersalah. Begitu selamba sekali. Adam menggeleng. Geli hatinya. Dari dulu lagi Rasyid begitu. Semenjak dari darjah satu sehinggalah sekarang. Asal ada makanan di hadapannya, pasti lupa dunia.

“ Memanglah aku bercakap dengan kau, kalau tak aku nak bercakap dengan siapa?!” Rasyid tersengih. Betul juga cakap sahabatnya itu.

“ Aku ingatkan engkau sedang buat monolog tadi?” Balasnya sambil ketawa. Adam menggeleng.

“ So, jawablah.” Rasyid terpinga-pinga. Alamak, Adam tanya aku soalan rupanya.

“ Cuba kau ulang balik soalan kau itu, supaya aku dapat faham dengan lebih jelas,” pantas sahaja dia menuturkan kata. Lagaknya seperti khusyuk mendengar kata-kata sahabatnya itu dengan teliti.

“ Aku tanya, Nurul Huda itu, baik ke tidak budaknya?”

“ Oh, pasal budak lawa itu?” Rasyid mula tersengih. Nampaknya sahabatnya yang seorang ini sudah jatuh hati.

“ Kenapa kau tanya?” Adam menjadi serba salah.

“ Aku..erm..aku just nak tahu aje.” Kata-katanya disambut dengan gelak tawa daripada Rasyid. Sah, memang Adam sudah jatuh cinta!

“ Baiklah, dari pemerhatian akulahkan, Huda tu, baik, tegas dan aku rasa dari penilaian aku, dia ada semua aset yang baik untuk menjadi seorang wanita muslimah. Puas?” Adam hanya mengangguk. Dia masih teringat sewaktu mata mereka berdua berlaga ketika dalam dewan kuliah tadi. Ya Allah, apakah ujian yang Kau berikan ini. Kurniakanlah hati hambaMu yang lemah ini sedikit kekuatan untuk menghadapinya kerana aku tahu, aku tidak akan mampu menghadapinya tanpa pertolongan daripadaMU ya Allah, getus hatinya.

“ Kau ingat lagi kata-kata aku Adam?” Tanya Rasyid. Mulutnya tidak berhenti mengunyah sisa makanan yang masih berlebih. Air sirap limau di hadapannya disedut nikmat. Adam menggeleng.

“ Kau ingat kau bercakap sekali aje ke dengan aku?” Balasnya sambil tersengih, menyakat Rasyid.

“ Itulah kau. Bila aku dah beritahu, kau lupa. Akukan pernah cakap pada kau, cintailah Allah dengan mencintai makhluk ciptaanNya, namun jangan sampai cintamu kepada makhluk melebihi cinta kepada penciptaNya.” Adam mengangguk. Memang tidak dinafikan kebenaran kata Rasyid.

“ Jadi aku rasa tak salah kalau kau cuba tanya si Huda itu. Aku rasa engkau berdua memang sepadan tapi ingat pesan aku itu. Kalau kau cintakan bunga, ingatlah bunga itu kelak akan layu. Jika engkau cintakan harta, kau mesti ingat suatu masa nanti engkau akan meninggalkannya, jika engkau cintakan manusia, manusia itu lambat laun akan mati juga, akan tetapi andai engkau cintakan Ilahi, Allah itu sesungguhnya kekal abadi.”

Adam mengusap kepalanya. Imbasan memori yang berputar satu persatu terasa begitu menyesakkan dada. Dia terperangkap di antara dua keadaan. Diantara fitrahnya sebagai manusia yang hendak menyayang dan disayangi dan fitrah seorang hamba yang hanya mencintai penciptaNya. Ya Allah, andai engkau datangkan dugaan ini untuk mengujiku, maka engkau pimpinlah aku ke jalan yang Engkau redai ya Allah, di dalam hati dia berdoa.

Dia bangun meninggalkan komputernya tanpa dimatikan terlebih dahulu. Fikirannya berserabut dengan berbagai rasa. Hanya Allah sahajalah tempat untuk dia mengadu. Anggota wuduk dibasuh dengan air. Dia perlu memohon petunjuk daripada Allah. Moga-moga keputusan yang akan dibuat tidak salah. Dia hanya mampu berdoa. Harapannya agar dia tidak kecundang di dunia yang fana ini.

“ Ya Allah, Tuhan Yang Maha Agung, Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Engkau Ya Allah. Di malam yang hening ini, hadirnya hambamu yang hina, datang ingin mengadukan masalahnya Ya Allah. Masalah yang Engkau lebih mengetahuinya daripada diriku sendiri Ya Allah. Hati hambaMu ini tidak mampu untuk menghadapi ujian cinta yang engkau berikan ini Ya Allah. Aku takut andai aku terleka kepada cinta makhluk yang akan menyebabkan aku lalai kepada Engkau Ya Allah. Aku tahu Ya Allah, engkau tidak akan memberikan sesuatu itu melainkan ianya mampu untuk dihadapi oleh hamba-hambaMu Ya Allah. Maka, bantulah aku, pimpinlah aku agar aku tidak terpesong dari jalanMu Ya Allah, kerana sesungguhnya hati ini begitu lemah untuk menghadapi serangan hasutan syaitan durjana dan hawa nafsu Ya Allah. Pimpinlah hambaMu ini Ya Allah. Hanya kepada Engkau aku berserah dan kepada Engkau jugalah aku memohon cinta kerana sesungguhnya syukurku adalah milikMu Ya Allah.”

Adam mengikhlaskan dirinya berdoa kepada Allah. Moga doanya dimakbulkan oleh Allah s.w.t kerana dia yakin dengan firman Allah, “ dan berkata Tuhanmu, “ berdoalah kamu kepada aku, nescaya akanKu makbulkan.” Adam bersujud. Dia masih bersujud. Terus bersujud dan akan sentiasa bersujud. Menambah cinta yang seolah-olah tidak betah berada di hati. Berbekalkan setitis air mata, dia masih lagi ingin mencuba. Walau disedari dirinya tidak seberapa, namun semuanya harus dikira. Cinta kepada Yang Maha Esa perlu melebihi segala, walau cinta kepada Hawa mula menguasai jiwa. Menyerang segenap lapisan kerinduan Ilahi, menghancurkan benteng kesabaran selama ini, dia tetap akan mencuba kerana, cinta Adam kepadaNya perlu melebihi segala. Walau terpaksa mengorbankan Hawa. Dia hanya ingin mencari cinta Ilahi. Dia tenggelam dalam keasyikan beribadat kepada Allah. Dunia sudah dilupakan. Terasa asyik beribadat dan dai terus beribadat mengabdikan dirinya tanpa menyedari waktu yang semakin berlalu.
Komputernya masih lagi menyala. Terbuka tanpa disentuh. Surat yang baru separuh siap ditaip kelihatan terpapar di skrin tanpa diusik.

“Dengan Nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Penyayang. Aku memohon keampunan dan lindungan daripadaNya sepenuh keikhlasan hati. Sedarlah kamu, cinta itu diciptakan oleh Allah dan kepadaNya juga cinta perlu kita kembalikan. Cinta kepada makhluk, pasti suatu masa ia akan meninggalkan kamu, akan tetapi cinta kepada Ilahi, hanya satu yang kekal abadi.

Dialah yang mencampakkan perasaan cinta dan kasih sayang dalam hati hambaNya dan sesungguhnya aku termasuk dalam golongan hamba yang telah dicampakkan rasa cinta di hati. Aku tidak akan mencintai dirimu tanpa izin daripada Allah dan aku mencintaimu hanyalah kerana aku mencintai penciptaMu. Aku mencintai dirimu kerana agama yang ada padamu. Andai engkau hilangkan agama yang ada pada dirimu itu, maka hilanglah cintaku ini kepada dirimu. Aku hanya mampu berusaha dan bertawakal. Sesungguhnya segala ketetapan adalah daripadaNya semata.”


*********************************


Adam berkejar ke café. Pagi ini dia tidak sempat bersarapan di rumah kerana terlewat. Sampai di café, dia terserempak dengan Rasyid. Senyuman dihadiahkan kepada sahabatnya itu kerana senyuman itu adalah sedekah, seperti yang telah termaktub di dalam sebuah hadis, “ senyumanmu kepada saudaramu dianggap sebagai sedekah.” Selain itu, senyuman juga merupakan senaman muka yang baik. Dia pernah membaca sebuah buku yang menghuraikan kelebihan yang tersembunyi disebalik sebuah senyuman.

Antaranya ialah, kajian menunjukkan bahawa senyuman akan memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. Apabila darah yang sudah sejuk ini sampai ke hipotalamus ( bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi ) ia akan menghasilkan kesan ‘gembira’. Ia juga berkait rapat dengan peghasilan endorphindalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi yang menjadikan seseorang itu lebih selesa dengan diri sendiri. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan dalam darah, menambahkan kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung meramsang proses penyembuhan dalam diri seseorang. Tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan dan keresahan yang dapat menyebabkan sakit jantung dapat dikurangkan dan peratus manusia yang suka tersenyum untuk dijangkiti akan menjadi rendah. Selain itu, senyuman yang diakhiri dengan ketawa juga mempunyai banyak kebaikan. Antaranya, ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon ( protein melawan penyakit ), sel T ( yang penting untuk system pertahanan badan ) dan sel B ( untuk penghasilan antibodi melawan penyakit ). Ia juga terbukti berjaya mengaktifkan bahan kimia badan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser.

Habis membayar harga makanan, Adam melabuhkan punggungnya di hadapan Rasyid. Nasi lemak sambal sotong menjadi pilihannya pagi itu. Aroma wangi daun pandan meruntun seleranya. Perlahan-lahan dia menyudu hidangan di hadapannya.

“ Awal engkau datang café hari ini?” Soal Rasyid. Mulutnya sibuk mengunyah nasi goreng yang dipesan dengan lahap.

“ Aku bangun lewat sikit pagi tadi. Tak sempat sarapan di rumah,” Adam menjawab pendek. Rasyid mengangguk.

“ Aku ada berita untuk engkau. Nak tahu tak?” Tiba-tiba Rasyid menyoal penuh tanda tanya. Adam hanya mengangkat kening. Suapan masih lagi diteruskan.

“ Semalam, Huda tanya tentang engkau. Lepas sahaja engkau habis lunch dengan aku, dia datang jumpa aku. Dia suruh aku sampaikan surat ini kepada engkau,” ujar Rasyid sambil menghulurkan sepucuk surat.

“ Surat apa?” Rasyid mengangkat bahu tanda tidak tahu. Adam menyimpan surat tersebut di dalam beg galas yang dibawanya.

“ Nak aku tolong bacakan ke?” Usik Rasyid. Adam menggeleng sambil tersengih.

“ Kau ingat aku tak tahu membaca ke?” Balasnya sambil ketawa kecil.

Selesai bersarapan, masing-masing mengatur langkah menuju ke dewan kuliah. Hari ini, giliran kumpulan Adam pula untuk membentangkan kertas kerja kumpulan. Adam sudah bersiap sedia. Dia berdoa agar segalanya berjalan lancar. Moga-moga Professor Zaid meminati pembentangannya, ini kerana markah yang diperolehi akan dimasukkan dalam CGPAnya nanti.

**********************************

Sampai sahaja dia di rumah sewa, malam sudah melabuhkan tirainya menutupi segenap alam maya. Lampu bilik dinyalakan. Beg galas dicampak ke atas katil lalu punggungnya dilabuhkan ke atas sofa kuning air. Terasa keletihan menyerang setiap sendi tubuh namun dia bersyukur. Dengan izin daripadaNya, dia telah berjaya memberikan pembentangan yang dianggap paling baik setakat ini. Semuanya berkat usahanya dan dengan izin Allah juga. Berbagai pujian diterimanya dan dia hanya mampu memulangkan semua pujian itu kembali kepada yang paling layak.

Wajah Professor Zaid kelihatan ceria seusai pembentangannya habis. Namun Adam tidak dapat mengawal perasaannya daripada rasa resah sebaik sahaja bertentang mata dengan gadis yang berjaya mencuri hatinya. Dia bersyukur. Perasaan tersebut berjaya diatasinya dengan baik. Tiba-tiba dia teringat surat daripada Huda yang belum lagi dibaca. Pantas beg galas dicapai. Satu sampul kuning dikeluarkan. Perlahan-lahan surat tersebut dibuka.

Assalamualaikum w.b.t.

Menemui saudara Adam moga sentiasa berada dalam rahmat Allah s.w.t. mungkin saudara tidak mengenali diri saya, namun diri ini telah mengenali saudara sejak sekian lama lagi. Kehadiran surat ini adalah untuk menyampaikan hasrat di hati saya. Mungkin apa yang saya lakukan ini seperti perigi mencari timba, saya tak kisah kerana saya sudah memohon petunjuk daripada Allah dan saya pasti serta yakin, jodoh saya berada di sini.
Kita tidak pernah berhubung dan kini kita perlu bercinta, pelik bukan? Namun jika ianya sudah kehendak Ilahi, tiada yang mustahil. Andai kita sahaja sudah mampu Dia ciptakan, apatah lagi perasaan sayang sesama manusia. Bukankah ianya juga diciptakan oleh Allah? Apa yang penting adalah kita menggunakan cinta ini di jalanNya. Gunakan ia dijalan yang mendapat keredaanNya.
Saya tidak memaksa saudara menerima saya kerana segala keputusan itu datangnya daripada Allah jua. Imam Ghazali pernah berkata, “ aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika engkau hilangkan agamamu itu, maka hilanglah cintaku padamu.” Selaku hamba, sememangnya kita ingin mencari cinta hakiki, mencari cinta Ilahi. Namun hati ini terasa gusar andai ianya terjatuh ke dalam hati yang sudah melupakan cinta hakiki dan hanya ingin menuruti nafsu semata.

Tatkala nafsu sudah beraja, pandangan menjadi gelap dan tongkat si iblislah yang digunakan untuk menyuluh jalan dalam menyelusuri kehidupan yang akhirnya akan membawa kebinasaan. Saya yakin saudara mampu memimpin hati hawa ini dalam usaha mencari cinta Ilahi. Segala keputusan akan saya terima dengan penuh kesyukuran kepada Allah kerana daripadaNyalah segala apa jua datang dan kembali.

Sekian,wassalam.
Nurul huda bt Azman



Adam tersentak. Padahal baru sahaja dia ingin menulis surat meluahkan isi hatinya kepada Nurul Huda. Benarlah yang dijanjikan. Segera dia bersujud syukur. Memuji kebesaran dan keagungan Allah. Apabila engkau mengejar cinta Ilahi, engkau akan mendapat cinta hakiki dan cinta mereka yang mencintai Ilahi. Tetapi apabila engkau mengejar cinta mereka yang mencintai Ilahi semata, engkau hanya akan mendapat cinta mereka tanpa memperoleh cinta hakiki. Adam masih bersujud. Dia sudah berjaya dalam pencarian Hawanya. Dia akan terus bersujud. Menzahirkan kesyukuran seorang hamba kepada Tuhannya, dalam sujud ini…



Cintakan bunga, bunga itu pasti akan layu
Cintakan harta, harta itu nanti akan engkau tinggalkan

Cintakan paras rupa, ianya pasti akan dimamah usia
Cintakan manusia, suatu masa akan pergi jua akhirnya

Cintakan Ilahi, akan kekal abadi.
Cintailah Ilahi, nescaya engkau akan miliki kesemuanya…








Coretan pengarang

Alhamdulillah,akhirnya saya berjaya menyiapkan cerpen yang agak ringkas ini dengan izin daripadaNya. Seikhlas mungkin saya garapkan cerpen ini untuk tatapan pembaca semua dengan harapan agar kita semua dapat mengambil segala manfaat yang berguna walau sedikit cuma. Apa yang pasti, segala kekurangan itu menjadi lumrah bagi manusia seperti kita dan yang sempurna hanyalah Dia Yang Esa. Dalam cerpen kali ini saya banyak menggunakan teknik imbas balik. Mungkin teknik ini kurang menjadi tetapi ini percubaan pertama saya menggunakan teknik ini dalam penulisan cerpen. Segala kekurangan harap dimaafkan. Saya mengharapkan komen yang boleh membantu saya memperbaiki mutu penulisan saya. Sedikit huraian tentang cerpen ini, ia mengisahkan seorang pemuda bernama Adam yang mencari cinta hakiki dan berada di dalam dilema apabila dia jatuh cinta kepada seorang gadis bernama Nurul Huda. Sewaktu dia sudah membuat keputusan untuk mencari cintanya itu hanya kerana cinta kepada Allah, maka Allah mendatangkan baginya cinta dicari sebelum sempat dia mencarinya. Pengajarannya ialah, dengan kita cinta kepada Allah, mereka yang mencintai Allah juga akan mencintai kita dan kita juga akan dimuliakan sesama manusia. Akhir kalam, selamat membaca dan semoga kita sentiasa berada di dalam rahmat kasih sayang daripada Nya.

6 comments:

Anonymous said...

Salam...
ade salah eja: meramsang = merangsang(ade kt tgh2 sket...).
hmm...teknik imbas kembali mmg kurang menjadi...btol...
hahaha...tu je kot...
hmm...sdp dh cerpen...
tp rase cam terlalu ringkas...
bkn nk srh pnjgkn tulisan(cam krgn B.M.)...rase2 la kene krgkn info sampingan...n lbh pnjgkn crite...
hmm...tu je aa kot komennye...
nk sgt...kte ni x la ganas sgt...
nk komen sket tu bleh aa...
hek..hek..hek...
ok ah...sekian...

Terus nntkn post yg akn dikluarkn pemilik blog ni(ifab2004)...
(kempen siket...hahaha...)

Wassalam.

~2548~

radhiahsyahida said...

salam ziarah..
nice story..
inilah bentuk2 cerpen yg patut digarapkan dgn lbh byk..
as a dakwah utk remaja scr halus..
smg terus thabat dlm bidang ni..

redha Allah itu dicari..

Anonymous said...

salam. the great cerpen. saya ni bukanlah pandai sgt lam komen2 ni. tp, cket2 tu bleh laaa. singkat ler cerpen ni.. bleh tk len kali postkan lebih panjang ag? harap sgt. sekian..

-Islamic Author-(2226)

miss_alin said...

salam
ape aku nk komen ea?
cket2 je la..
interesting story..
aku mmg suke bce sal cinta ni..huhu
adelah bab romantik tu cket..

semua org komen suh kau pnjgkn cerpen ni..
tp bg aku, naseb bek pendek, letih mata aku nk bace..hehe(gurau je)..

ade bakat utk mnjadi penulis..
gunakanlah bakatmu itu utk menyebarkn dakwah melalui penulisan..

erm, psl perigi cari timba ni..ak kurang setuju, tp kalo dah itu yg terbaik yg Allah tunjukkn, nk buat cmne kn..=D

semoga dpt terus hasilkn karya yg lbih menarik lgi. insyaAllah =)

miss_alin said...

lupe nk tanye..mne dpt ilham cerpen ni?
adekah ade terselit sedikit pengalamn tuan penulis didlm cerpen ni?
haha..

ifab2004 said...

hahaha..insyaAllah akan diperbaiki mutunya dari masa ke semasa..thanks a lot.