CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, August 27, 2009

Sewaktu aku keletihan,dia masih cekal...

Pernah tak kita terjumpa sesuatu yang mengagumkan kita? Semestinya pernahkan. Jadi kali ini,saya mahu berkongsi pengalaman saya,yang saya rasa agak mengagumkan dan menyebabkan saya terasa agak kerdil.

Suatu ketika di bulan terawih,saya seperti biasa pergi ke masjid untuk solat terawih. Disebabkan keletihan yang agak luar biasa pada hari itu,sehabis lapan rakaat,saya segera bersolat witir lalu bersandar keletihan di tiang masjid dengan harapan untuk mendapatkan rehat.

Sambil bersandar keletihan,telinga saya asyik mendengar alunan bacaan ayat-ayat Quran oleh imam. Tatkala itu juga,saya melilaukan pandangan mata ke arah jemaah dan kawasan sekitar masjid.

Pada mulanya,tiada apa yang menarik untuk dijamah oleh mata ini melainkan keindahan seni khat yang dipamerkan di dinding-dinding masjid,juga seni reka dalaman masjid yang agak grand dan kelihatan mendamaikan. Kesejukan pendingin hawa juga amat menyamankan diri saya.

Ketika mata hendak mula tertutup,saya terpandang seorang anak kecil. Beliau berdiri agak jauh dari jemaah lain kerana beliau tak cukup umur lagi. Dan saya lihat,budak kecil ini begitu tabah mengikut solat terawih tersebut,walhal ramai kanak-kanak yang sebaya dengannya sedang asyik bermain dan bergurau senda.

Kejadian ini tiba-tiba merembeskan kembali adrenalin saya lalu mencelikkan mata,mengaktifkan kembali neuron-neuron otak lantas saya mula berfikir. Betapa kesungguhan budak ini dalam beribadat kepada Allah s.w.t.

Teringat kisah yang pernah saya baca suatu ketika dahulu bagaimana seorang budak yang melihat seorang tua menghidupkan api. Si tua itu memasukkan kayu api yang kecil-kecil dahulu sebelum memasukkan yang besar. Tiba-tiba,anak kecil itu menangis. Maka bertanyalah si tua itu kepada si kecil mengapakah dia menangis. Lantas dijawab,"engkau menghidupkan api tersebut dengan membakar kayu-kayu yang kecil dahulu sebelum yang besar,aku takut jika di akhirat kelak,Allah s.w.t membakar aku dahulu."

Alangkah indahnya jika kita juga memiliki rasa ketakutan seperti itu. Rasa takut yang akan membuatkan kita sentiasa mengumpul bekalan untuk perjalanan kita kelak. Rasa takut yang membuatkan kita sedar bahawasanya kehidupan ini sementara cuma. Rasa takut yang sentiasa membuatkan kita tidak alpa dan leka akan matlamat penciptaan kita ke dunia ini.

Sentiasa kita ini dilalaikan dengan semua keindahan dunia ini,kita disibukkan dengan segala kerja dunia,hingga kita melupakan tujuan kita yang sebenarnya.


Ya Allah,janganlah engkau golongkan kami dari golongan yang melupakan Mu ya Allah....